Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) bakal memberi tambang percuma selama dua hari bermula dari 24 hingga 26 Januari sempena perayaan Thaipusam kepada para penumpang KTM Komuter Lembah Klang. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah mengumumkan bahawa semasa penumpang membuat imbasan untuk keluar dan masuk di pintu automatik (ACG) stesen destinasi berkenaan, tambang percuma akan dikenakan.
Para penumpang boleh menggunakan KTM Wallet, kad Touch’N’Go, kad MyDebit, kad kredit, tiket QR fizikal dari kaunter atau menerusi aplikasi KITS untuk menikmati tambang percuma ketika mengakses pintu keluar dan masuk. Menurut laporan Bernama, mereka menjangkakan seramai 250,000 penumpang akan menggunakan komuter sepanjang tempoh tiga hari tersebut lebih-lebih lagi pada waktu kemuncak iaitu pada Hari Thaipusam, 25 Januari.
Selain itu, perkhidmatan tren tambahan turut akan beroperasi tanpa henti selama empat hari bermula 23 hingga 26 Januari 2024, dengan 28 stesen beroperasi selama 24 jam. Tambah beliau lagi, bagi laluan Batu Caves – Pulau Sebang – Batu Caves telah ditambah kepada 33 perkhidmatan dan 39 perkhidmatan untuk laluan Batu Caves – Pelabuhan Klang – Batu Caves menjadikan jumlah perkhidmatan tambahan sebanyak 72 perkhidmatan kali ini.
“Perkhidmatan KTM Komuter tambahan akan bermula seawal 9.55 malam pada 23 Januari dari Stesen Pulau Sebang ke Stesen Batu Caves dengan kekerapan setiap sejam. Manakala tren dari Stesen Pelabuhan Klang ke Stesen Batu Caves akan bermula seawal 11.39 malam juga dengan kekerapan setiap sejam,” jelas beliau lagi.
Walau bagaimanapun, tiada tren tambahan dari Tanjung Malim ke Batu Caves atau sebaliknya dan beliau menyarankan kepada pengguna yang ingin menggunakan laluan ini supaya menaiki tren komuter dari Stesen Tanjung Malim ke Stesen Putra, Bank Negara, Kuala Lumpur dan KL Sentral dan membuat pertukaran tren KTM komuter ke Batu Caves.
Sumber : Bernama, Paultan