Bermula 1 Februari nanti, peralihan kepada lesen memandu dan cukai jalan digital telah diperkenalkan oleh kerajaan pada minggu lepas apabila Menteri Pengangkutan, Anthony Loke membuat pengumuman bahawa ianya boleh diperbaharui melalui aplikasi mudah alih MyJPJ.
Bagaimana pula jika ketika sekatan jalan raya dan anda sedang ditahan oleh pegawai JPJ? Ini jawapannya. Melalui satu wawancara Nasional FM bersama dengan Pengarah Perlesenan Kenderaan JPJ, Abdul Rahman Emang Anyie, beliau telah menjelaskan beberapa perubahan dan peraturan disebabkan pendigitalan lesen memandu dan cukai jalan.
Bagi pengguna yang masih gemar menggunakan lesen memandu dan cukai jalan fizikal, ia masih sah dan dibenarkan di semua sekatan jalan raya. Bagi pemandu yang lesen memandunya telah tamat tempoh, mereka perlu mencetak format baru lesen berkenaan dalam bentuk slip fizikal dan tunjukkan pada pegawai JPJ yang bertugas.
Sering menjadi tanya tanya dan isu hangat yang masih diperkatakan sehingga sekarang ialah persoalan di mana segelintir pemandu berkongsi pengalaman mereka ketika di sekatan jalan raya di mana penggunaan lesen memandu dan cukai jalan digital tidak berfungsi dan mereka masih dikenakan denda atau saman oleh pegawai JPJ. Apakah solusi kepada masalah ini?
Menurut Abdul Rahman, pegawai JPJ yang bertugas akan mempunyai peranti khas yang boleh memeriksa kesahihan lesen dan cukai jalan ini hanya dengan memasukkan nombor kad pengenalan sahaja selepas ini. Jadi, tak perlu risau jika anda tertinggal telefon bimbit di rumah atau telefon bimbit anda kehabisan bateri dan sebagainya untuk menunjukkan lesen memandu digital anda.
Bagi cukai jalan digital, sejak 10 Februari 2023 lagi pemilik kenderaan tidak perlu melekatkan cukai jalan fizikal di cermin kereta dan kini anda hanya perlu beri nombor pendaftaran kereta sahaja pada pegawai JPJ yang bertugas. Ini berikutan dengan kebanyakan orang merungut kerana pelekat cukai jalan susah untuk ditanggalkan dan meninggalkan kesan pada cermin kereta anda.
Selain dapat mengelakkan kesesakan di kaunter JPJ, pendigitalan perkhidmatan juga mampu menjimatkan kewangan JPJ sebanyak RM96 juta setahun seperti yang telah dijelaskan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Tunggu apa lagi, perbaharuilah lesen memandu dan cukai jalan anda secara digital mulai 1 Februari ini nanti.
Sumber : Paultan