PHS Automotive Malaysia (PHSAM) hari ini mengumumkan penambahan dua model baharu ke dalam rangkaian kenderaan elektrik sepenuhnya iaitu Audi e-tron SQ8 e-tron dan SQ8 Sportback e-tron.
Dua model berprestasi tinggi baharu di dalam rangkaian elektrik SUV dan crossover Audi Q8 e-tron itu ditawarkan pada harga bermula RM519,990 untuk SQ8 e-tron dan bermula RM529,990 bagi varian SQ8 Sportback e-tron.
Menurut Pengarah Urusan PHSAM, Denyu Bostandzhiev, “E-tron merupakan kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) pertama Audi dengan Q8 e-tron menjadi model flagship. Selain sistem pacuan semua roda quattro elektrik yang menjadi signatur Audi, kedua-dua model ini juga dilengkapi 3 unit motor, sekaligus menjadi model EV pertama di Malaysia yang mempunyai rangkaian kuasa dengan 3 motor.”
SQ8 e-tron hadir dengan 3 unit motor yang mampu menghasilkan 973 Nm manakala output maksimum yang dihasilkan untuk kuasa adalah 503 Ps. Pecutan 0-100 km/j didakwa dalam masa 4.5 saat dan pecutan maksimum adalah 210 km/j.
SQ8 e-tron ini boleh mencapai pengecasan 10 hingga 80 peratus dalam masa 31 minit. Untuk jarak sejauh 458 km boleh dicapai dengan pek bateri berkapasiti 114 kWh dengan sekali pengecasan bagi SQ8 e-tron manakala jarak sejauh 471 km bagi SQ8 e-tron Sportback.
SQ8 e-tron didatangkan dengan 7 pilihan warna iaitu kelabu (Magnet Gray), biru (Ultra Blue), kelabu (Chronos Gray), hitam (Mythos Black), biru (Plasma Blue), kelabu (Daytona Gray) dan putih (Glacier White).
Jaminan lanjutan kenderaan sehingga 5 tahun dengan penyelenggaraan berjadual secara percuma untuk 3 tahun pertama dan bantuan tepi jalan percuma bagi 5 tahun pertama ditawarkan bagi kedua-dua varian SQ8 e-tron dengan pilihan Audi Assurance Package (AAP). Jaminan selama 8 tahun atau perbatuan sejauh 160,000 km bagi sistem bateri dan dilindungi secara berasingan.
Semua jaminan ini tertakluk kepada terma dan syarat. Untuk maklumat lanjut mengenai SQ8 e-tron dan model-model lain dalam rangkaian e-tron, sila kunjungi bilik pameran terdekat Audi atau layari laman web www.audi.com.my.