Selain telah mengumumkan penambahan dua model baharu kenderaan elektrik sepenuhnya iaitu Audi e-tron – SQ8 e-tron dan SQ8 Sportback e-tron, apa yang menarik perhatian orang ramai adalah Virtual Exterior Mirror yang telah menggantikan side mirror pada kedua-dua varian ini. Sebelum itu, mari kita pelajari dahulu sedikit sebanyak tentang ciri-ciri baharu SQ8 e-tron dan SQ8 Sportback e-tron.
Di bahagian luar, dengan gril Singleframe yang menjadi signatur Audi diserlahkan lagi dengan lampu utama jenis Digital Matrix LED. Unit-unit lampu yang canggih ini mempunyai sekitar 1.3 juta cermin mikro yang boleh disudutkan secara individu sehingga 5,000 kali sesaat untuk mengoptimumkan lagi penglihatan pemandu. Rekaan bamparnya kini lebih lebar dan sporty, dan ia dilengkapi dengan bukaan udara dinamik dan lampu LED di belakang.
Di bahagian dalam pula, kemasan ‘S’, tempat duduk balutan kulit Valcona, papan pemuka dengan kemasan aluminium dan gentian karbon serta pakej lampu suasana dan lampu pintu LED melengkapi kedua-dua model ini seperti model-model mewah Audi yang lain. Sistem kawalan suhu 4 zon yang dilengkapi dengan ionizer udara juga disediakan bagi mendapatkan kualiti udara yang terbaik.
Selebihnya, pendekatan moden Audi Virtual Cockpit menghiasi ruang dalamannya dengan head-up display dan dua paparan MMI yang disudutkan kepada penglihatan pemandu. Ia juga menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Bagi sistem bunyi, ia menggunakan sistem Bang & Olufsen dengan 16-pembesar suara dengan kapasiti 705 watt. Ruang kabinnya juga memanfaatkan bahan kitar semula.
Aspek keselamatan, Audi SQ8 e-tron lengkap antaranya dengan ciri canggih seperti kawalan melayar adaptif, amaran penukaran lorong, bantuan membelok serta amaran lintasan trafik di depan dan belakang. Ciri keselamatan standard yang lain termasuk beg udara SRS, Isofix untuk kanak-kanak, peninjau tekanan tayar, serta pakej Park Assist.
Dua model berprestasi tinggi baharu di dalam rangkaian elektrik SUV dan crossover Audi Q8 e-tron ini ditawarkan pada harga bermula RM519,990 untuk SQ8 e-tron dan bermula RM529,990 bagi varian SQ8 Sportback e-tron.