Malaysia mencatatkan rekod baru jualan tahunan kenderaan secara keseluruhan pada 2023 dengan mencapai TIV sebanyak 799,731 unit. Tahun 2022 merupakan rekod baru juga di mana sebanyak 721,177 unit berjaya terjual dan pada tahun lalu kita dapat menyaksikan peningkatan sebanyak 11 peratus.
Berikutan dengan pandemik Covid-19 yang telah melanda negara pada tahun 2020 hingga 2021 sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada angka jualan kenderaan tahunan di mana penurunan mendadak telah direkodkan. Rekod terbaru ini telah menyaksikan dua tahun berturut-turut TIV melebihi angka 700,000 unit.
Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), faktor segmen kenderaan penumpang dan juga dorongan oleh pasaran domestik yang kukuh serta persekitaran sosio-politik yang stabil telah menyumbang kepada peningkatan sebanyak 11 peratus berbanding pada tahun 2022. Serahan ketika tempoh pengecualian SST yang perlu diselesaikan sebelum 31 Mac 2023 juga antara penyumbang besar.
Mengikut pecahan, kenderaan penumpang menyumbang kepada pertumbuhan ini, dengan angka 719,160 unit terjual yang mewakili peningkatan 12 peratus, dan menyumbang kepada 89.9 peratus keseluruhannya. Pertumbuhan paling ketara adalah dari segmen MPV di mana peningkatan sebanyak 27.6 peratus dan sumbangan terbesar tentunya datang dari Perodua Alza generasi kedua pada tahun lalu. Tidak lupa juga kepada SUV yang meningkat sebanyak 9.7 peratus dan trak pikap sebanyak 1.5 peratus.
Gabungan di antara Proton dan Perodua sahaja sebagai pengeluar utama kenderaan nasional telah merekodkan sebanyak 481,300 unit kenderaan terjual sepanjang tahun 2023. Manakala pengeluar kenderaan bukan nasional pula meningkat sebanyak 6 peratus berbanding pada tahun 2022 iaitu 224,112 unit kepada 237,860 unit pada tahun lalu.
Selain itu, jualan tahunan bagi kenderaan hibrid dan juga elektrik (EV) turut meningkat dengan drastik di mana 28,055 unit kenderaan hibrid telah dijual dan 10,159 unit bagi EV. Jumlah sebanyak 38,055 unit telah berjaya dijual pada tahun lalu berbanding pada tahun 2022 iaitu sebanyak 22,619 unit kenderaan. Ia telah menyumbang 5 peratus daripada TIV bagi 2023.
MAA mensasarkan pada tahun 2024 untuk jumlah keseluruhan jualan kenderaan bagi hibrid dan EV (xEV) meningkat sebanyak 9 peratus, dengan 2 peratus darinya adalah dari EV. Bagi sasaran TIV pula ialah 740,000 unit bagi tahun 2024, di mana 74,000 unit darinya disasarkan untuk model hibrid manakala 14,800 unit untuk model EV.
Sumber: Paultan