Sempena keberangkatan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ke Istana Negara, Kuala Lumpur, laluan sepanjang 35.5 km bermula dari Istana Bukit Serene sehingga ke Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), Senai akan ditutup pada 31 Januari, Rabu ini.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata penutupan jalan ini sempena Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17. Laluan akan mula ditutup pada pukul 7.45 pagi dan dijangka pergerakan konvoi Sultan Ibrahim akan bermula pada pukul 8 pagi dari Istana Bukit Serene.
“Pergerakan konvoi dijangka mengambil masa kira-kira satu jam menuju Hangar Diraja dan laluan akan dibuka semula sebelum pukul 9 pagi.
“Sepanjang jalan itu, dijangka 20,000 hingga 30,000 rakyat akan berbaris di sepanjang laluan melambai dan menyatakan sokongan kepada Sultan Ibrahim,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor semalam.
Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk merancang perjalanan sebaiknya pada hari Rabu ini bagi yang mempunyai urusan kerja dan sebagainya sebelum laluan ditutup.
Tambah beliau lagi, seramai 1,200 anggota polis termasuk pasukan bantuan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan berada di sepanjang laluan bagi mengawal keselamatan orang ramai dan kelancaran perjalanan Sultan Johor nanti.
Sultan Ibrahim akan melaksanakan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh 5 tahun dan akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sumber : Utusan Malaysia
Kredit Imej : Sinar Harian