Satu video telah tular semalam di mana dalam video tersebut telah menunjukkan seorang anggota polis trafik menawarkan diskaun saman kepada pasangan suami isteri yang dikenali sebagai Chris dan Marianne Fisher yang mengembara “Tread the Globe” atas kesalahan memandu melebihi had laju.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka telah memulakan siasatan terperinci bagi menyiasat dakwaan itu dan tidak akan bertoleransi dengan sebarang tingkah laku oleh mana-mana anggota dan pegawai yang terlibat.
Pengarah JSPT Bukit Aman, CP Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri, menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan kepada sesiapa yang mempunyai info atau maklumat mengenai kejadian ini diminta untuk tampil bagi membantu siasatan.
Apa yang dapat dilihat dalam video tersebut adalah pasangan terbabit telah memandu melebihi had laju yang sepatutnya iaitu selaju 80 km/j dan anggota trafik yang sedang bertugas pada waktu itu telah mengeluarkan saman pada pasangan itu. Walau bagaimanapun, anggota terbabit dilihat menawarkan diskaun saman tersebut, sama ada bayaran sebanyak RM300 di balai polis atau RM100 sahaja jika dibayar secara terus kepada dirinya.
Tanpa berfikir panjang, pasangan terbabit telah membayar RM100 kepada anggota trafik tersebut dan menganggap bahawa membayar saman secara terus dan cepat dengan anggota terbabit telah merendahkan kadar saman berbanding jika dibayar di balai polis. “Great option,” kata mereka.
Dengan adanya dashcam di dalam kereta, ia boleh dijadikan bahan bukti untuk apa jua kejadian seperti kemalangan dan sebagainya dan ini menunjukkan betapa pentingnya penggunaan dashcam di dalam kereta. Sebarang tindakan akan ditentukan sendiri oleh JSPT menerusi siasatan mereka.
Sumber : Paultan