Selain memperlihatkan GAC GS3 EMZOOM dan GAC EMKOO, sebuah model SUV EV pertama dari Warisan Tan Chong Automotif (WTCA), GAC Aion Y Plus turut diperlihatkan hari ini. GAC Aion Y Plus ini dijangkakan akan dilancarkan pada separuh pertama tahun 2024.
Aion Y Plus ini dikuasakan oleh bateri Magazine GAC Aion sendiri, yang menggunakan Magazine Battery Safety Technology yang sehingga kini masih belum pernah merekodkan sebarang letupan atau kebakaran, menjadikan ia teknologi bateri paling selamat di dunia ketika ini, dengan menetapkan standard baru bagi prestasi keselamatan dalam EV.
Bateri Magazine yang digunakan berkapasiti 63.2kWH dengan output maksimum 150 kW. Ini memberikan jarak perjalanan sejauh 490 km (NEDC) atau 430 (WLTP) untuk model terbabit.
Selain itu, rekaan luarannya didatangkan dengan rekaan lampu utama yang unik iaitu Angel’s Wing dengan 7 jalur lampu melintang, mencipta penampilan yang elegan dan tersendiri di atas jalan raya. Ia juga ditawarkan dengan 7 pilihan warna yang menarik dari Glamour Black sehingga Youthful Green.
Apa yang membezakan Aion Y Plus adalah kerusi depannya yang boleh direbahkan hingga rata, menyediakan ruang rata dengan kelebaran 1.8 meter untuk diubah dan dimanfaatkan oleh pemandu. Tidak dilupakan, ruang kaki untuk penumpang belakang juga sangat luas dengan ukuran sehingga 1,022 mm tersedia.