Kerajaan bakal meningkatkan kadar cukai perkhidmatan dari 6 peratus kepada 8 peratus bermula 1 Mac nanti dan perkara ini telah diumumkan dalam Belanjawan 2024. Beberapa kategori akan dikecualikan daripada kadar baru ini dan antaranya adalah F&B dan telekomunikasi, tetapi secara umumnya pengguna akan membayar lebih selepas peningkatan ini dilaksanakan.
Dijangkakan perkhidmatan berkaitan kenderaan dan baik pulih tidak termasuk dalam kategori yang terkecuali itu. Oleh itu, bermula 1 Mac kos penyelenggaraan kenderaan akan naik. Sila ambil maklum bahawa ia hanya terpakai untuk caj pekerja atau buruh dan bukan ke atas alat ganti kenderaan bagi cukai perkhidmatan.
Namun selepas ini, kita bakal menyaksikan pengguna kenderaan terpaksa membayar lebih selepas ini untuk insurans kenderaan. Walaupun belum diberi apa-apa penekanan terhadap perkara ini, peningkatan sebanyak 2 peratus akan dikenakan ke atasnya, termasuk semua insurans atau takaful perniagaan-kepada-pelanggan umum lainnya, tidak termasuk insurans kesihatan atau takaful kesihatan.
Adakah kita akan melihat peningkatan harga yang tinggi? Ia bergantung kepada perlindungan yang anda ambil dan berapa anda perlu bayar untuk pakej premium. Berdasarkan jumlah premium yang dibayar, cukai perkhidmatan untuk insurans kenderaan akan dicaj dan dikira berdasarkan jumlah selepas NCD, sekiranya ada.
Berdasarkan tinjauan yang telah dibuat oleh rakan media kami, Paultan, menurut FAQ Zurich Malaysia, cukai berkenaan akan dikenakan sebahagiannya ke atas polisi sedia ada, yang mana polisi dengan tempoh perlindungan dari Julai 2023 hingga Jun 2024 bakal menyaksikan perlindungan dari 1 Mac hingga hujung Jun 2024 itu akan dikenakan kenaikan cukai perkhidmatan tersebut.
Kredit Imej : Paultan
Selain itu, MSIG juga ada memuat naik di laman Facebook-nya berkenaan kenaikan cukai perkhidmatan seperti yang berikut:
“MSIG berhak mengutip cukai perkhidmatan yang belum dikenakan untuk polisi yang diproses sebelum 1 Mac 2024 yang mana tempoh insuransnya melangkaui tarikh 1 Mac 2024. Anda wajib membayar cukai yang terpakai termasuk (tetapi tidak hanya terhad kepada) cukai perkhidmatan dan duti stem yang dikenakan oleh pihak berkuasa cukai kerajaan Malaysia berkaitan polisi kami.”
Bagaimana pula dengan nasib pemegang polisi selepas kenaikan cukai perkhidmatan selepas ini? Sama-sama kita nantikan maklum balas dan kenyataan rasmi dari PIAM.
Sumber : Paultan