Pada 30 Januari lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun ditemukan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia selepas ditinggalkan ibunya di dalam kereta berdekatan pintu belakang Hospital Shah Alam.
Laporan diterima berhubung kejadian itu daripada seorang pegawai perubatan hospital berkenaan kira-kira jam 8.01 malam, menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim. Hasil siasatan mendapati bahawa mangsa telah diambil dari Taska berdekatan sekitar jam 2 petang dan ibunya telah meninggalkan mangsa secara tidak sengaja di dalam Perodua Axia miliknya.
“Semasa ditinggalkan, mangsa dalam keadaan tertidur dan enjin kereta dimatikan. Ibu kanak-kanak itu yang berusia 34 tahun yang juga kakitangan hospital hanya menyedari kejadian terbabit selepas dihubungi suaminya pada 6 petang. Mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Shah Alam, dalam keadaan tidak sedarkan diri, sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.
Tiada sebarang kecederaan luaran mahupun dalaman ke atas mangsa setelah bedah siasat dijalankan. Siasatan telah dijalankan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, kata Mohd Iqbal.
“Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati semasa mengambil anak-anak mereka semasa pulang dari sekolah atau taska terutamanya yang masih kecil supaya kejadian seperti ini tidak berulang. Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini bolehlah menghubungi Inspektor Syer Aidid di talian 013-6544996,” katanya.
Sumber : Harian Metro