Sempena sambutan Tahun Baru Cina, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menguatkuasakan larangan untuk kenderaan berat menggunakan jalan raya khususnya lebuhraya selama 4 hari.
Menurut Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan, larangan ini akan dilaksanakan selama 2 hari pada 8 dan 9 Februari dan 2 hari lagi pada 12 dan 13 Februari iaitu selepas perayaan. Selain untuk mengelak berlakunya kemalangan maut, larangan ini dilaksanakan bagi memastikan kelancaran lalu lintas semasa musim perayaan.
“JPJ menyeru dan memohon kerjasama kepada pengguna jalan raya dan orang awam untuk mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya serta bertoleransi bersama pengguna jalan raya lain,” katanya dalam sidang akhbar pada Selasa menurut laporan dari Sinar Harian.
Selepas melakukan pemeriksaan di Depoh Transnasional Express Sdn Bhd, Sungai Chua, sempena Ops JPJ Depoh Khas Bulan Perayaan, beliau mengulas bahawa aktiviti pemeriksaan dan pengauditan telah dilaksanakan JPJ bermula Sabtu hingga hari ini yang melibatkan depoh bas di seluruh negara.
Sebanyak 361 bas di 54 depoh di seluruh negara telah diperiksa dan sebanyak 12 bas telah diambil tindakan dan 10 bas dikeluarkan Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (PG1) di atas pelanggaran peraturan teknikal yang ditetapkan.
Selain memastikan tahap kesediaan operasi dan keselamatan berada dalam keadaan baik, JPJ juga memantau pemandu yang akan mengendalikan operasi bas. Antaranya ialah mempunyai dokumen yang lengkap dan beroperasi mengikut jadual yang telah ditetapkan.
“Kita memandang serius aspek keselamatan dan tidak akan berkompromi dengan pihak syarikat, pemilik dan pemandu bas ekspres termasuk mana-mana pengguna jalan raya yang masih tegar melanggar undang-undang serta peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Tambah beliau lagi, pemeriksaan status saman syarikat pengendali bas dan status saman pemandu bas yang tertunggak turut dilakukan bagi memastikan kelancaran perkhidmatan operasi bas semasa musim perayaan nanti.
Sumber : Careta