Sempena perayaan Tahun Baru Cina (CNY) kali ini, kerajaan telah bersetuju untuk memberikan tol percuma kepada kenderaan Kelas 1 (persendirian) sahaja pada 8 dan 9 Februari 2024. Bermula jam 12.01 tengah malam pada 8 Februari 2024 (Khamis) dan akan berakhir jam 11.59 malam pada 9 Februari 2024 (Jumaat) pemberian tol percuma ini akan dilaksanakan.
Pemberian tol percuma ini sah di semua lebuhraya kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Linkedua, Johor, menurut Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanti Linggi.
“Sebagai tanda prihatin serta sama-sama berkongsi kegembiraan bersama rakyat Malaysia yang akan menyambut perayaan Tahun Baharu Cina kali ini, kerajaan telah bersetuju memberikan tol percuma kepada pengguna lebuh raya. Pemberian tol percuma ini melibatkan implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM42.99 juta.
“Bagi pengguna jalan raya yang bakal memulakan perjalanan sepanjang musim perayaan ini, semoga selamat sampai ke destinasi dan rancanglah perjalanan anda dengan sewajarnya,” kata Alexander menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Beliau turut berharap pengguna lebuhraya dapat memanfaatkan pemberian tol percuma dengan merancang sebaiknya perjalanan anda untuk pulang ke kampung. Pastikan baki Touch’N’Go dan e-wallet mencukupi dan pandu secara hemah di lebuhraya. Jika anda penat, anda boleh berhenti dahulu di R&R dan sambung kembali perjalanan anda.
Anda juga disarankan untuk mengikut cadangan jadual waktu perjalanan (TTA) yang dikeluarkan oleh syarikat konsesi lebuhraya termasuk untuk Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1.
Sumber : Paultan