passionately driven

Laluan LRT Pulau Pinang Akan Berakhir di Penang Sentral, Bukan Komtar

Sebelum ini, laluan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang dilaporkan akan berakhir di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) dan kini telah diumumkan bahawa laluan LRT akan dihubungkan sehingga hab pengangkutan di bahagian Seberang Perai, Penang Sentral.

Pihak Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah mendedahkan jajaran baharu itu dalam satu perbincangan baru-baru ini, menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

“Cadangan asal jajaran adalah berhenti pada stesen KOMTAR, namun MRT Corp mahu ia dibawa hingga ke Penang Sentral di bahagian Seberang Perai. Ia sekali gus akan merentasi laut dan kita akan memperhalusi serta mengambil kira isu teknikal bagi memastikan pembinaannya berjalan lancar,” katanya ketika diminta mengulas perkembangan berhubung projek LRT di negeri itu.

Pihak MRT Corp juga telah membentangkan usaha untuk merealisasikan projek LRT yang sudah lama dirancang ini, kata Kon Yeow. “Mereka ada maklumkan untuk tindakan selanjutnya memerlukan pembentangan kertas Kabinet untuk mendapat lampu hijau daripada Jemaah Menteri, seterusnya membolehkan langkah lanjut diambil ,” tambahnya.

Perunding telah dilantik oleh MRT Corp bagi membuat kajian berhubung jajaran projek LRT yang disempurnakan oleh SRS Consortium Sdn Bhd. “Rakan pelaksana projek (PDP) kerajaan negeri ketika itu memberi kata putus dan reaksi terhadap jajaran yang kita sudah cadangkan. Semua perincian ini termasuk lokasi depoh dan sebagainya akan dimasukkan dalam kertas kerja bagi membolehkan kita memperoleh hala tuju seterusnya,” katanya.

Dengan jajaran laluan sepanjang 29 kilometer, fasa pertama projek LRT di Pulau Pinang merangkumi 27 stesen dan ia telah dilaporkan oleh media pada Mei, tahun lalu.

Satu persetujuan telah dicapai dalam perbincangan mengenai jajaran baharu LRT iaitu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas ke Tanjong Bungah berbanding jadual terdahulu iaitu akan berakhir di KOMTAR, menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Sebanyak RM10 billion telah diperuntukkan dalam Pembentangan Bajet 2024 bagi melaksanakan projek LRT Pulau Pinang melalui kaedah kerjasama awam-swasta (PPP).

 

Sumber : Berita Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD