Sebuah pesawat telah dilaporkan terhempas di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran sebuah sekolah di Kapar, Selangor semalam. Pesawat ringan model BK 160 Gabriel dengan nombor pendaftaran I-POOC telah disahkan terhempas di lokasi tersebut oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Sebuah video berdurasi 17 saat telah tular semalam di mana serpihan pesawat didapati bertaburan di sebuah ladang kelapa sawit yang tidak diketahui modelnya. Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor telah mengesahkan pesawat itu terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar dan usaha menyelamat sedang dijalankan sejak dari semalam lagi.
Kira-kira jam 7.55 petang semalam, mayat kedua-dua mangsa yang terlibat dalam nahas udara telah berjaya dibawa keluar dari bangkai pesawat ringan. Bagi tujuan bedah siasat dan pengecaman, kedua-dua mayat telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah menaiki trak Polis Diraja Malaysia yang berasingan.
Mangsa dikenali sebagai Daniel Yee Hsiang Khoon, 30 tahun, dan Roshaan Singh Raina, 42 tahun, menurut senarai manifest penerbangan. Kedua-dua mangsa merupakan ahli kepada Kelab Penerbangan Rekreasi dan dipercayai Yee sedang melatih Roshaan dalam pesawat ringan terbabit.
Pihak polis telah mengesahkan nahas udara terbabit telah meragut nyawa 2 mangsa dan telah berlaku di Kampung Tok Muda, Kapar pada Selasa. Menurut Ketua Polis Negeri Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, kedua-dua mangsa berada dalam kokpit pesawat yang terbenam kira-kira 2 meter.
Kredit Imej : Astro Awani
Tambah beliau lagi, siasatan sedang dijalankan bagi menentukan sama ada tubuh badan mangsa masih berada dalam keadaan baik atau pun tidak, tetapi beliau mengesahkan bahawa keadaan kokpit pesawat yang terbenam masih berada dalam keadaan baik.
Air Adventure Flying Club telah mengendalikan pesawat ringan model BK 160 Gabriel dengan nombor pendaftaran I-POOC dan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, pada jam 1.28 petang bagi penerbangan rekreasi.
Sumber : Astro Awani