Baru-baru ini, UMW Toyota Motor telah menganjurkan Kempen Servis Istimewa dan telah membuat panggilan semula yang melibatkan Toyota Vios dan Toyota Veloz melalui satu surat yang telah dimuat naik oleh seorang pemilik Toyota Vios di dalam Facebook Page Toyota Vios 3rd & 4th Gen Community.
Siapa sangka, rupanya Perodua Alza turut mengalami masalah yang sama dan Perodua telah membuat panggilan semula dalam minggu ini. Walau bagaimanapun, Perodua tidak menghebahkan notis panggilan ini secara umum dan kami hanya mendapat tahu melalui seorang pemilik Perodua Alza yang telah memuat naik gambar surat di dalam Facebook Page Perodua Alza D27A Malaysia.
Kredit Imej : FB Page Perodua Alza D27A Malaysia
Di dalam surat tersebut, ia menyatakan bahawa pemilik perlu membawa Alza mereka ke pusat servis untuk diperiksa suspensi hadapan dan ia bakal mengambil masa selama satu jam. Namun begitu, melalui laporan dari rakan media kami, Paultan, menerusi job order pusat servis yang telah mereka lihat, Alza dipanggil semula ke pusat servis bagi mengetatkan kembali nat penyerap hentak hadapan.
Berdasarkan kiriman surat oleh UMW Toyota Motor kepada pemilik Vios dan Veloz tempoh hari, Toyota menyatakan bahawa kempen ini bertujuan untuk memanggil semula pemilik kenderaan supaya menghantar kenderaan mereka ke pusat servis Toyota untuk tujuan mengetatkan semula nat pemasangan penyerap hentak hadapan. Hal ini kerana, nat tersebut mungkin tidak diikat dengan kadar tork secukupnya.
Kredit Imej : FB Page Toyota Vios 3rd & 4th Gen Community
“Jika kenderaan terus digunakan dalam keadaan ini nat berkenaan mungkin akan longgar, menyebabkan bunyi yang tidak normal terhasil, dan nat tersebut mungkin tercabut, menyebabkan kenderaan hilang kestabilan. Oleh itu kami menjalankan kempen servis istimewa ini bagi menyelesaikan masalah berkenaan,” tulis surat dari UMW Toyota tersebut.
Sama seperti UMW Toyota, kos pembaikkan semasa panggilan semula ini akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak Perodua dan pelanggan tidak perlu melakukan sebarang pembayaran. Namun, temu janji harus dibuat terlebih dahulu oleh pelanggan di pusat servis yang berdekatan dengan mereka.
Sumber : Paultan