Pada Isnin lalu, sebuah kejadian kejar-mengejar di antara sebuah kereta peronda polis dan sebuah Toyota Hilux telah berlaku di Kilometer 215 Lebuhraya Utara-Selatan arah Utara berhampiran Taiping. Suspek yang terlibat kini sedang diburu polis kerana telah mengakibatkan kecederaan kepada 2 anggota polis.
Kejadian terjadi sekitar jam 6.50 pagi dan suspek berjaya melepaskan diri selepas bertindak melempar objek besi kepada kereta peronda polis yang sedang mengejarnya. Menurut laporan Berita Harian, 2 anggota polis berpangkat koperal dan lans koperal telah cedera dalam kejadian terbabit.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, 2 anggota polis terbabit berusia 29 dan 38 tahun dan kecederaan yang dialami adalah luka di kepala dan sakit di beberapa bahagian badan termasuk dada dan tengkuk selepas kereta peronda jenis Honda Civic 1.8 (SPANCO) dinaiki hilang kawalan.
“Kenderaan itu terbabas dan berpusing sebelum melanggar penghadang jalan akibat melanggar satu objek besi yang dilemparkan suspek,” katanya.
Pusat kawalan daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping telah memberi arahan kepada anggota unit kereta peronda (MPV) terbabit sebelum kejadian berlaku lagi. Ini adalah untuk memberi bantuan kepada 5 lagi MPV polis dari IPD Ipoh untuk menahan kenderaan suspek terbabit.
Difahamkan, kereta peronda polis telah mengejar kenderaan suspek sejauh 50km bermula dari Plaza Tol Ipoh Utara melepasi ke Plaza Tol Changkat Jering di Taiping. Semasa insiden mengejar itu berlaku, 2 anggota polis telah memberi amaran melalui pembesar suara sebanyak 3 kali kepada suspek supaya memberhentikan kenderaan.
Suspek telah mengabaikan amaran tersebut dan bertindak dengan melempar keluar objek besi yang selepas itu telah melanggar bahagian bawah kereta peronda polis.
Sumber : Sinar Harian