Susulan dengan satu video tular yang memaparkan sebuah kereta model Perodua Myvi berwarna perak telah memandu lawan arus di Lebuhraya Utara-Selatan di Johor, polis telah bertindak dengan menahan seorang lelaki warga emas berusia 74 tahun di Taman Nusa Bayu, Gelang Patah di Iskandar Puteri semalam.
Pada hari Ahad, jam 9.15 malam, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Iskandar Puteri telah menerima maklumat berhubung dengan video yang sedang tular itu, menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin.
Hasil siasatan mendapati suspek berusia 74 tahun dan berasal dari Segamat. Suspek juga baru pertama kali menjejakkan kaki ke Johor Bahru pada ketika itu.
“Ketika kejadian, suspek dalam perjalanan ke rumah rakannya di Johor Bahru dan telah masuk ke jalan yang salah sehingga melawan arus sebagaimana yang tular di media sosial. Suspek kemudiannya dibawa ke BSPTD bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Kes telah disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya. Penjara selama tempoh tidak lebih 5 tahun dan denda tidak kurang RM5,000 sehingga RM15,000 boleh dikenakan jika disabit kesalahan. Selain itu, pemandu yang disabit atas kesalahan ini juga akan ditarik kelayakannya dari memegang atau mendapatkan lesen memandu untuk tempoh 5 tahun dari tarikh sabitan.
Sumber : Sinar Harian