Menurut Pengarah Kanan Penguat Kuasa Undang-Undang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan, secara purata satu kematian berlaku setiap dua jam akibat kemalangan motosikal di Malaysia pada tahun 2023.
“Pada 2022, seramai 6,080 individu terkorban dalam kemalangan jalan raya di seluruh negara. Jumlah itu meningkat kepada 6,344 orang pada tahun lepas. Kira-kira 4,000 daripada kematian ini adalah melibatkan motosikal. Bermakna purata seorang terbunuh setiap dua jam, dan ini adalah trend yang sangat membimbangkan,” katanya seperti yang dilaporkan The Star.
Beralih kepada saman yang telah dikeluarkan semasa operasi khas sempena Tahun Baru Cina dan musim cuti, JPJ telah mengeluarkan sebanyak 165,553 saman di seluruh negara mulai 1 Februari hingga 28 Februari.
Sebanyak 42,505 saman telah dikeluarkan yang membabitkan kesalahan tidak memiliki lesen memandu diikuti dengan kesalahan gagal memperbaharui dan tiada lesen kenderaan motor sebanyak 32,979 saman. Malahan saman turut dikeluarkan atas kesalahan teknikal iaitu 29,976 dan tiada insurans sebanyak 27,239.
“Saman terhadap kesalahan pemandu yang memandu secara tidak selamat dan berisiko tinggi juga dikeluarkan sebanyak 7,340 atau empat peratus. Kesalahan ini membabitkan had laju, langgar lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, menggunakan lorong kecemasan, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit, tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar, pandu kenderaan berat di lorong laju serta lebih muatan. Sementara itu, lain-lain kesalahan pula adalah sebanyak 20,264,” katanya.
Selain itu, kesalahan yang melibatkan pesalah warga asing sebanyak 17,762 saman di mana ia membabitkan kesalahan tiada lesen memandu sebanyak 6,380, tiada cukai jalan (2,120), tiada insurans (1,843) dan lain-lain kesalahan (7,419).
Sebanyak 768,276 kenderaan telah diperiksa sepanjang operasi yang turut disertai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan 6,413 kenderaan telah disita.
“Siasatan bagi semua kes dijalankan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715),” katanya.
Sumber : Paultan