Untuk menambah baik aspek khidmat selepas jualan dan memberikan tahap kepuasan pelanggan yang tertinggi, Proton bakal melaksanakan sistem pengurusan gudang alat ganti baharu (WMS) yang dijangka akan bermula pada 25 Mac ini.
CEO Proton, Roslan Abdullah, telah mengeluarkan satu kenyataan semasa lawatan media di Proton Parts Centre Sdn Bhd (PPCSB) pagi tadi bahawa dengan pelancaran sistem baharu ini, ia telah mencerminkan lagi usaha Proton untuk memastikan penyelesaian yang optimum untuk semua pelanggan Proton.
Menerusi kerjasama di antara Geely IT yang disokong oleh Geely Logistics, sistem WMS itu dibangun dan perkongsian pengetahuan itu dibuat secara dalam talian serta interaksi fizikal antara Shah Alam, Wuhan dan Hangzhou.
Di Malaysia sahaja, PPCSB mempunyai 5 gudang alat ganti di mana 2 daripadanya terletak di Glenmarie, satu di Batu Tiga, satu di Sarawak dan satu lagi bakal dibuka tidak lama lagi di Kota Kinabalu, Sabah pada suku kedua tahun 2024.
Untuk memastikan tahap ketersediaan stok alat ganti bagi semua model di bawah Proton, pegangan stok telah ditingkatkan sebanyak 1.5 kali ganda berbanding tahun sebelumnya, dengan jumlah stok lebih 30,000 bahagian dan nilai mencecah RM130 juta.
Bagi vendor di luar negara juga tidak perlu risau kerana jumlah pemindahan stok ke Malaysia Timur juga telah meningkat 2 kali ganda dan mereka boleh terus melakukan penghantaran ke Malaysia Timur tanpa sebarang masalah.
Proton juga berjaya mengurangkan jumlah pesanan kembali sebanyak 60 peratus melalui sistem pesanan pembelian yang efektif serta sokongan daripada pemerolehan dan pembuatan dan meningkatkan purata penghantaran harian sebanyak 35%.
Hasil daripada penambahbaikan yang dibuat, tempoh menunggu pelanggan juga telah berjaya diminimumkan dengan pengurangan tempoh Work-in-Progress sebanyak 63% jika dibandingkan dengan tahun terdahulu.