Susulan dengan sebuah video berdurasi 13 saat yang telah tular di mana ia memaparkan sebuah kenderaan jenis Honda Civic telah memandu lawan arus di Kilometer 9, Jalan Johor Bahru – Ayer Hitam beberapa hari yang lalu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, telah mengesahkan bahawa mereka telah berjaya menahan seorang wanita warga emas berusia 75 tahun bagi membantu siasatan.
“Wanita berusia 75 tahun itu ditahan selepas dipanggil memberi keterangan di Balai Polis Iskandar Puteri sejurus video tersebut tular di media sosial. Kejadian dipercayai berlaku antara jam 12 tengah malam hingga 2.50 pagi semalam, dan kita menahan seorang suspek wanita kira-kira jam 4.11 petang kelmarin bagi membantu siasatan.”
“Hasil siasatan awal mendapati wanita itu tidak memandu di bawah pengaruh alkohol, sebaliknya dia disyaki mengalami masalah kesihatan iaitu dementia,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai diingatkan bahawa memandu melawan arus adalah satu kesalahan dan tindakan boleh diambil terhadap penunggang atau pemandu jika didapati bersalah di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020. Hukuman penjara selama tempoh tidak lebih 5 tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000 boleh dikenakan jika disabit bersalah serta hilang kelayakan dari memegang atau mendapatkan lesen memandu dari tarikh sabitan.
Sumber : Harian Metro