Sistem Latihan dan Pengujian Memandu Secara Elektronik (eTesting) bakal diperkenalkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula April ini.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dengan adanya pelaksanaan sistem itu, para calon boleh menjalani ujian tanpa pegawai JPJ di dalam kenderaan dan prestasi calon akan diukur menggunakan alat pengesan dan kamera.
“Keputusan akan dijana secara masa nyata sekali gus meningkatkan integriti proses penilaian,” katanya selepas lawatan kerja ke institut memandu di sini sempena pelaksanaan inisatif eTesting.
Pembangunan sistem eTesting telah dimulakan sejak tahun 2022 lagi dan JPJ telah mula menguji sistem berkenaan dalam projek fasa perintis di beberapa institut memandu.
Buat masa kini, calon-calon ujian memandu boleh memilih sama ada ingin diuji secara elektronik ataupun ujian biasa sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya pada tahun 2030.
Tambah beliau lagi, caj tambahan bakal dikenakan maksimum RM100 bagi yang memilih eTesting, namun beberapa manfaat akan diterima iaitu boleh membuat percubaan kali kedua bagi setiap elemen ujian yang gagal pada hari yang sama tanpa sebarang kos tambahan.
Selain itu, calon hanya perlu membuat ujian ulangan yang melibatkan elemen yang gagal sahaja tanpa perlu mengulangi keseluruhan elemen bahagian II, seperti pelaksanaan ujian secara manual. Keutamaan juga akan diberikan dalam senarai tempahan ujian dan rebat RM10 bagi pengeluaran lesen percubaan.
Pelaksanaan sistem eTesting membolehkan lebih ramai calon diuji berbanding sistem ujian sedia ada atau manual selain meningkatkan integriti sistem ujian memandu, pengeluaran lesen memandu, memudahkan proses auditan dan pemantauan aktiviti ujian secara elektronik, katanya.
Ketika ini, terdapat tiga institut memandu yang telah bersedia dengan pelaksanaan sistem eTesting iaitu Institut Memandu Surfine Hitech, Hulu Langat, Selangor; Pusat Latihan Memandu Berjaya Bhd, Ulu Tiram, Johor dan Institut Lima Bintang Abadi Sdn Bhd, Pulau Pinang.
“Kementerian Pengangkutan menggalakkan semua institut memandu menawarkan ujian memandu berasaskan eTesting. Tempoh masa selama enam tahun akan diberikan kepada institut memandu bagi peralihan pengujian kaedah manual kepada kaedah eTesting,” katanya.
Sumber : Sinar Harian