Bagi mengiktiraf sumbangan serta khidmat cemerlang mereka, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Proton X90 kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan pegawai-pegawai kanan Istana Negara.
Antara yang turut menerima kurniaan berkenaan ialah Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, pegawai agama Istana Negara, Datuk Munir Md Salleh, bekas Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin dan Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd Alim.
Menurut hantaran dari laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, kurniaan daripada Seri Paduka Baginda itu telah disampaikan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Zailani Hashim di Istana Negara semalam.
“Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan keluarga diraja Johor menerusi Yayasan-yayasan Diraja Johor telah mengurniakan pelbagai sumbangan dalam membantu rakyat yang memerlukan.
“Malah, Seri Paduka Baginda turut mengurniakan 10,000 peket beras percuma seberat 10 kilogram di Johor, tahun lalu dalam membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah.
“Selain daripada kurniaan dan sumbangan menerusi Yayasan-yayasan Keluarga Diraja Johor kepada rakyat jelata, Seri Paduka Baginda juga memberi kurniaan kereta kepada pegawai-pegawai yang berjasa serta dedikasi dalam menjalankan tugas,” menurut hantaran itu.
Menurut hantaran itu, Seri Paduka Baginda sejak dahulu lagi mengurniakan kereta kepada pegawai-pegawai kerajaan negeri Johor, pegawai daerah, doktor perubatan dan jururawat.
Sumber : Sinar Harian