Persediaan rapi terutamanya pada waktu kemuncak agar perjalanan pengguna lebuh raya selesa, selamat dan lancar sepanjang sepanjang bulan Ramadhan telah diarahkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) kepada semua Syarikat Konsesi Lebuh Raya.
Menurut LLM, mereka menjangkakan peningkatan jumlah trafik yang menggunakan lebuh raya bertol semasa pulang atau pergi bekerja pada bulan Ramadhan yang akan bermula esok, 12 Mac.
“Antara inisiatif yang perlu dilaksanakan iaitu menyelaras semula lokasi dan masa penutupan lorong untuk kerja-kerja penyelenggaraan selaras dengan waktu pulang atau pergi dari bekerja sama ada di sektor kerajaan atau swasta yang akan berubah berbanding waktu kerja biasa.
“Menjadualkan semula waktu pengaktifan laluan tidal atau smartlane selaras dengan perubahan waktu kerja dan memastikan semua kemudahan disediakan di kawasan rehat dan rawat, hentian sebelah dan plaza tol dalam keadaan baik termasuk aspek bekalan air dan tahap kebersihan,” menurut kenyataan itu.
Lokasi-lokasi tumpuan juga harus dikenal pasti oleh pihak-pihak yang terlibat bagi menyediakan kemudahan tambahan sementara bagi menangani peningkatan jumlah pengguna, tambah LLM.
“Meningkatkan kerjasama bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu kelancaran pergerakan trafik terutamanya di lokasi-lokasi yang kritikal seperti lampu isyarat selepas susur keluar lebuh raya bagi mengelakkan limpahan trafik ke laluan utama lebuh raya,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan ini telah dikeluarkan sendiri oleh Ketua Pengarah LLM, Datuk Sazali Harun, selepas beliau membuat lawatan semalam untuk melihat perancangan serta tindakan pihak ANIH Berhad untuk mengurangkan kesesakan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) khususnya di Plaza Tol Gombak.
Kementerian Kerja Raya dan LLM serta semua syarikat konsesi lebuh raya sentiasa peka kepada keselesaan pengguna lebuh raya dan berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik, menurut beliau.
Sumber : Sinar Harian