Menurut laporan The Star, kajian pelaksanaan undang-undang lemon law untuk kenderaan akan dijalankan pada tahun ini oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, dengan adanya undang-undang lemon law ini, pelanggan boleh membuat tuntutan ganti rugi sekiranya kenderaan yang mereka beli rosak atau gagal mematuhi tahap kualiti atau prestasi yang dinyatakan oleh pengeluar.
“Apabila kajian itu sudah lengkap, keputusan polisi akan dibuat di peringkat kementerian sebelum rangka kerja sah dijalankan,” Armizan menjawab secara bertulis kepada ahli parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Bagi sektor automotif, jika kenderaan yang dibeli mengalami kecacatan atau kerosakan yang serius, dengan Lemon Law, pembeli kereta berhak mendapat bayaran balik atau kereta baharu. Jika pengeluar kenderaan tidak dapat membaiki kenderaan tersebut, sama ada bayaran balik harga pembelian kepada pembeli atau menggantikan kenderaan harus dilaksanakan.
Walau bagaimanapun, ia juga bergantung kepada bagaimana ia dilaksanakan. Antara negara yang telah melaksanakan undang-undang ini dalam bentuk sendiri adalah Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Singapura dan Filipina. Di Malaysia, Armizan menjelaskan bahawa memang terdapat Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang melindungi pengguna daripada kerosakan kenderaan.
Namun, “Akta berkenaan melindungi pengguna dari beberapa sudut, walaupun ia bukanlah secara terang-terangan merupakan lemon law dan tidak menawarkan penyelesaian seperti pembelian semula kenderaan bagi kerosakan yang tidak boleh dibaiki. Ia menyediakan beberapa penyelesaian yang boleh diaplikasikan untuk masalah kenderaan bermasalah,” ujarnya.
Baru-baru ini ia dibangkitkan semula disebabkan semakin ramai pengguna yang menghadapi masalah yang sama di mana mereka baru sahaja membeli kenderaan dan dalam tempoh masa yang singkat, kenderaan mereka telah rosak. Lebih malang lagi, penjual kenderaan berkenaan tidak dapat membaiki kenderaan dan memberi alasan yang tidak munasabah kepada pembeli. Adakah wajar Lemon Law dilaksanakan di Malaysia?
Sumber : The Star