Jajaran terakhir di Seksyen 11 yang menghubungkan Taiping Selatan, Trong dan Beruas di Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) telah siap sepenuhnya dan dirasmikan hari ini oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Menurut beliau, ia akan dibuka kepada pengguna lebuhraya mulai jam 12.01 pagi, Selasa. Pihak konsesi juga bersetuju untuk memberikan tol percuma bagi kedua-dua arah jajaran berkenaan selama 2 bulan iaitu sehingga 11 Mei depan.
“Kali ini lain daripada tempat-tempat lain. Tempat lain kita bagi sebulan atau sebulan lebih sikit. Tol percuma kali ini yang panjang sehingga dua bulan kerana bulan pertama ini bulan Ramadan. Lepas itu kita meraikan Aidilfitri yang juga kira-kira sebulan. Jadi biarlah betul-betul dua bulan dari (tarikh) kita buka malam ini,” katanya.
Turut hadir bersama untuk merasmikan pembukaan jajaran terakhir ini adalah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad dan Pengerusi West Coast Expressway, Datuk Ir. Hamzah Hasan.
Dengan pembukaan jajaran Seksyen 11 ini, dijangka dapat menjimatkan masa perjalanan dari Changkat Jering ke Beruas kepada 20 minit berbanding dengan laluan biasa iaitu 55 minit. Sebanyak RM420 juta telah dibelanjakan untuk membuka jajaran terakhir ini.
Lebuhraya WCE yang keseluruhannya bernilai RM5 bilion merupakan lebuh raya antara bandar yang menghubungkan Changkat Jering di Perak ke Banting, Selangor sepanjang 314.5 kilometer. Perjanjian konsesi Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) yang menghubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar sepanjang 60 kilometer juga dijangka akan ditandatangani pada pertengahan tahun ini.
Pembinaan WISE akan menjadi pelengkap kepada jajaran lebuh raya di Perak yang sering berdepan kesesakan teruk, terutama di laluan berhampiran Terowong Menora.
Sumber : Astro Awani