Seorang pelajar perempuan maut selepas terlibat dalam kemalangan motosikal bersama dua buah kereta di Simpang Tiga Kampung Padang Buluh, Sidam Kiri. Merupakan pelajar sebuah kolej di Sungai Petani, mangsa yang berusia 19 tahun ini meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, kejadian berlaku sekitar jam 2.50 petang dan mangsa sedang menunggang motosikal jenis Modenas Dinamik dari arah Sungai Petani menghala ke Kulim.
“Siasatan awal ditempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Mercedes Benz yang dipandu seorang lelaki berusia 57 tahun tidak nampak dan sempat mengelak motosikal mangsa yang ingin membelok masuk ke simpang sebelah kanan lalu melanggar motosikal mangsa dari bahagian belakang.
“Akibat pelanggaran itu mangsa terjatuh dan tercampak ke kiri jalan dan sebuah kereta jenis Toyota Vios turut melanggar mangsa,” katanya menurut dari laporan Astro Awani.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber : Astro Awani