Sebuah lori treler telah merempuh 10 buah kenderaan di laluan bertentangan di Kilometer 11.1 Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke Perling pada petang semalam dan dipercayai punca kemalangan adalah kerana tidak sempat mengelak kereta yang bertukar lorong.
Memetik dari laporan Sinar Harian, menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, kemalangan terjadi pada sekitar jam 4.20 petang dan telah melibatkan 12 kenderaan iaitu lapan kereta, tiga lori dan sebuah treler.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah Mercedes Benz dari arah Perling yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 20-an telah mengubah haluan dari lorong tengah masuk ke lorong kanan.
“Akibatnya sebuah lori treler yang berada di lorong kanan tidak dapat mengelak lalu melanggar Mercedes Benz dan terbabas masuk laluan bertentangan seterusnya melanggar 10 kenderaan yang berhenti di laluan bertentangan,” katanya dalam kenyataan pada malam Isnin.
Dua pemandu wanita dan seorang pemandu lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 60-an mengalami cedera ringan iaitu luka di bahagian muka dan telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI), tambah Raub.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis meminta saksi yang melihat kejadian kemalangan itu agar tampil ke Balai Polis Trafik Johor Bahru Selatan untuk memberi keterangan kepada polis atau berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Kelly Lee Ya Yek di talian 014-6977122,” katanya.
Turut tular adalah sebuah video kamera papan pemuka atau ‘dashcam’ berdurasi 35 saat yang memaparkan lori treler terbabit yang telah merempuh kenderaan lain di laluan bertentangan pada waktu kemuncak di jalan raya tersebut.
Sumber : Sinar Harian