Great Wall Motor (GWM) Malaysia telah melancarkan pembukaan pusat 3S baru di Setia Alam di mana fokus utama mereka adalah pada jualan, servis dan alat ganti.
Berkeluasan sebanyak 6,000 meter persegi, pusat 3S ini turut menampilkan ruang pameran, pusat servis dan alat jualan ganti. Para pelanggan boleh melihat secara dekat kenderaan yang diminati dan menunggu di ruang menunggu yang selesa semasa kenderaan mereka di pusat servis.
Dijangkakan pusat servis ini mampu menyelenggara sehingga 800 buah kenderaan setiap bulan termasuk dengan barisan jenama di bawah GWM iaitu Haval, Ora dan Cannon Series. Selain itu, ia turut didatangkan dengan 4 ruang servis yang diuruskan oleh juruteknik terlatih GWM.
“Dengan pembukaan pusat 3S ini, ia telah menunjukkan komitmen kami di GWM Malaysia untuk menyediakan perkhidmatan yang luar biasa dan kemudahan kepada pelanggan kami di Shah Alam dan Klang,” kata Pengarah Urusan GWM Malaysia, Mike Cui An Qi ketika melancarkan pusat tersebut.
GWM Malaysia turut mengumumkan penambahan model di bawah jenama mereka iaitu Ora 07 yang bakal dilancarkan pada 3 April nanti. Pelanggan yang berminat kini sudah boleh mula berkunjung ke pusat pameran GWM terdekat anda di seluruh Malaysia untuk melihat dan pandu uji model Ora 07.
Kepada pelanggan yang membuat tempahan sebelum pelancaran, pakej penyelenggaraan percuma selama 5 tahun atau had perbatuan 75,000 km (yang mana sampai dahulu) akan diberikan. Sama-sama kita nantikan berapakah harganya sewaktu pelancaran rasmi nanti.