passionately driven

Tempahan Dibuka Untuk Toyota Hiace Generasi Baharu – Harga Bermula RM169,000

Model generasi baharu bagi Toyota Hiace bakal dilancarkan ke pasaran Malaysia tidak lama lagi dan tempahannya telah dibuka secara rasmi oleh UMW Toyota Motor.

Hanya satu varian yang ditawarkan ke dalam pasaran Malaysia iaitu varian Super Long Wheelbase (SLWB) Window Van. Toyota Hiace ini berukuran 5,915 mm panjang, 1,950 mm lebar dan 2,280 mm tinggi, dengan jarak antara roda 3,860 mm. Ia dilengkapi dengan tempat duduk serta cermin tingkap pada kabin belakang yang boleh memuatkan 10 penumpang.

“Kami telah menerima banyak permintaan daripada rakan kongsi perniagaan kami yang tidak sabar menanti kehadiran Hiace baharu. Sebagai salah satu van komersial terkemuka di Malaysia, Hiace sentiasa mewujudkan komitmen kami terhadap kecemerlangan. Dengan pengenalan model Super Long Wheelbase, kami berbesar hati untuk menawarkan pelanggan kami kenderaan yang bukan sahaja memenuhi tetapi melebihi jangkaan mereka dari segi ruang, kuasa dan keselesaan,” kata presiden UMWT, Datuk Ravindran K.

Dengan kapasiti enjin turbodiesel 1GD-FTV 2.8 liter, model generasi baharu ini mampu menghasilkan 450 Nm tork pada 2,400 rpm. Manakala output maksimum yang dihasilkan untuk kuasa adalah 177 Ps pada 3,400 rpm. Enjin ini digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan yang diberikan fungsi tukaran manual.

Selain itu ia turut menerima perincian lain seperti lampu nyalaan LED, lampu hadapan reflektor halogen, lampu kabus halogen hadapan dan belakang, gril kemasan krom, cermin sisi lipatan dan larasan elektrik dengan sudut lebih lebar dan rim besi 16-inci dengan penutup plastik.

Pada bahagian dalaman, Hiace SLWB ini menerima cermin tingkap hadapan berkuasa, ruang simpanan atas kepada pada kabin hadapan, paparan meter analog dengan skrin pelbagai informasi, skrin Display Audio 7-inci, sistem penghawa dingin dengan kawalan berasingan untuk kabin belakang, lampu pada pemijak kaki pada pintu gelangsar belakang, serta tag RFID bina dalam.

Untuk keselamatan pula, Hiace SLWB pasaran Malaysia ini dilengkapi dengan tiga-beg udara, bantuan mula mendaki, kawalan kestabilan elektronik dengan sistem traction control, isyarat berhenti kecemasan, laluan keluar kecemasan, filem penapis solar dan keselamatan premium dan kamera perakam digital bina dalam untuk bahagian hadapan.

Tarikh pelancaran rasmi bagi Toyota Hiace ini masih belum diumumkan lagi namun ia bakal dijual bermula dari RM169,000. Sama-sama kita nantikan pelancaran rasmi bagi Hiace SLWB ini.

Gallery

  1. Boleh dapatkan no egen toyota ..saya berminat dengan van ni

  2. Boleh saya dapatkan no tel agen sah toyota

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pilih Jenama Kereta

© 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD