passionately driven

ECRL Bakal Siap Sepenuhnya Disember 2026, Mula Beroperasi Januari 2027 – Anthony Loke

Memetik dari laporan Bernama, Kementerian Pengangkutan yakin bahawa East Coast Rail Link (ECRL) bakal siap sepenuhnya pada Disember 2026 dan akan mula beroperasi pada Januari 2027.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, projek itu kini telah mencapai kemajuan sebanyak 64% dan bakal menghubungkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor. Berbanding dengan perjalanan menaiki kereta dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu selama 7 jam, dengan ECRL ini hanya mengambil masa selama 4 jam sahaja.

“Projek ECRL telah memasuki fasa baharu pembinaan sejak 2023, dengan kerja-kerja infrastruktur juga merangkumi pemasangan rasuk jejambat, pemasangan landasan, pembinaan stesen dan pembinaan depot kereta api.

“Sepanjang 665 kilometer (km), projek infrastruktur kebangsaaan ini merangkumi lebih 1,900 tapak kerja dan hampir 650 sedang aktif dalam pelbagai aktiviti pembinaan,” katanya semasa berucap pada Majlis Berbuka Puasa Ramadan 2024 bersama warga Kementerian Pengangkutan, projek ECRL dan pihak berkepentingan ECRL pada Selasa.

Dengan kombinasi kaedah “gerudi dan letup” beserta mesin pengorek terowong, kerja-kerja pengorekan Terowong Berkembar Genting sepanjang 16.39km telah mencapai kedalaman melebihi 8km bagi kedua-dua bahagian terowong, jelas Loke.

“Ini bermakna Terowong Berkembar Genting dijangka dapat mencapai penembusan pada suku kedua 2025 sekali gus menjadikannya terowong rel terpanjang di Asia,” katanya.

Setakat Februari 2024, kerja-kerja jambatan projek ECRL juga berjalan lancar dengan pemasangan rasuk jejambat untuk 155 jambatan daripada jumlah keseluruhan 219 jambatan, telah berjaya disempurnakan.

Beliau berkata kerja-kerja pemasangan landasan sejauh 92km telah siap pada akhir Februari 2024, iaitu sebulan lebih awal daripada yang dijadualkan.

Justeru, mesin pemasangan trek model ‘CCPG-500A’ yang canggih serta julung kali diguna pakai dalam industri rel di Malaysia, telah mula melaksanakan kerja-kerja pemasangan landasan ECRL bagi fasa kedua dari Kuantan Port City ke Maran di Pahang sejak 9 Mac lepas.

“Kerja-kerja pemasangan landasan fasa kedua sepanjang 97km ini dijangka siap pada Jun 2024, dan seterusnya membolehkan kerja-kerja pemasangan landasan dijalankan antara Dungun, Terengganu dan Kota Bharu.

“Selain itu, kerja-kerja pemasangan sistem elektrifikasi untuk kereta api ECRL akan bermula seawal Mei tahun ini di kawasan Stesen Cherating, Pahang dan disusuli dengan lokasi di mana pemasangan landasan telah siap,” katanya.

 

Sumber : Bernama

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD