Baru-baru ini telah tular gambar segelintir pengguna kenderaan pelbagai guna (MPV) yang memaparkan penumpang belakang membentang tilam di tempat penumpang belakang sewaktu pulang beraya disebabkan tersekat dalam trafik yang terlampau lama.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Rospiagos Taha, perlakuan tersebut adalah satu kesalahan dan mengundang bahaya kepada pemandu dan penumpang terutamanya kepada kanak-kanak.
“Semua pemandu dan penumpang dewasa hendaklah duduk di kerusi ketika kenderaan bergerak. Tambahan pula, bermula Januari 2009, peraturan pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang telah dikuatkuasakan melalui Kaedah-Kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang Keledar) (Pindaan 2008),” kata beliau.
Selain itu, kanak-kanak yang berat kurang dari 36 kilogram atau ketinggian kurang daripada 136 sentimeter atau berumur kurang 12 tahun dikehendaki untuk memakai kerusi keselamatan kanak-kanak ketika kenderaan sedang bergerak. Beliau menjelaskan bahawa bagi menjamin keselamatan penumpang sekiranya berlaku kemalangan, peraturan-peraturan tersebut telah dikuatkuasakan sejak tahun 2009 lagi.
Sumber : Sinar Harian