Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jualan kenderaan baharu Malaysia dilihat merosot pada bulan Mac iaitu hanya sebanyak 71,052 unit berbanding pada bulan yang sama tahun lalu iaitu sebanyak 78,881 unit.
Walau bagaimanapun, jumlah volum industri (TIV) pada Mac adalah 10 peratus lebih tinggi berbanding pada Februari iaitu sebanyak 64,290 unit.
“Ini disebabkan syarikat terdesak untuk penghantaran memandangkan tahun kewangan mereka berakhir pada 31 Mac 2024 selain kempen promosi musim perayaan Hari Raya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Bagi kenderaan penumpang (PV) pada bulan Mac, ia menunjukkan penurunan sebanyak sembilan peratus iaitu hanya sebanyak 64,760 unit berbanding pada bulan Februari iaitu sebanyak 70,490 unit manakala bagi kenderaan komersial juga menunjukkan penurunan sebanyak 21 peratus dari 7,941 unit kepada 6,292 unit.
Bagi jumlah dagangan jualan tahun sehingga kini bagi Mac 2024 telah meningkat sebanyak 5 peratus dari 192,615 unit kepada 202,245 unit yang didaftarkan dalam tempoh yang sama pada 2023. Tambah mereka, ia merangkumi 184,994 unit PV (naik lapan peratus) dan 17,251 unit CV (merosot 16 peratus).
Dari segi pengeluaran, ia juga menunjukkan penurunan iaitu hanya sebanyak 66,923 unit (menurun 12 peratus) berbanding pada Mac tahun lepas iaitu sebanyak 76,069 unit.
Daripada jumlah itu, 63,778 unit adalah PV, turun 11 peratus daripada 71,731 unit pada bulan yang sama tahun sebelum ini, manakala baki 3,145 unit adalah CV (merosot 28 peratus) berbanding 4,338 unit sebelumnya.
Dari tahun sehingga Mac 2024, sebanyak 210,431 unit telah dikeluarkan iaitu enam peratus lebih tinggi berbanding 198,394 unit yang dihasilkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Ini termasuk 199,199 unit PV (naik tujuh peratus) daripada tempoh yang sama tahun lepas manakala baki 11,232 unit (turun lapan peratus) adalah CV.
Mengenai tinjauan untuk April 2024, MAA menjangkakan jualan agak lemah berbanding Mac 2024 disebabkan bulan bekerja yang lebih pendek susulan cuti perayaan Hari Raya.
Sumber : Bernama