Satu kemalangan melibatkan lima buah kenderaan di Kilometer 458.6 Lebuhraya Utara-Selatan telah mengakibatkan seorang pelajar kolej maut manakala enam lagi cedera dalam kemalangan terbabit.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar, seorang remaja perempuan berusia 18 tahun maut setelah tercampak keluar dari kenderaan sewaktu kejadian terjadi.
Tambah beliau, remaja perempuan terbabit sedang dalam perjalanan ke sebuah kolej swasta bersama dengan dua lagi rakannya dari Subang menuju ke arah Sungai Buloh.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku jam 8.40 malam semasa kereta jenis Honda City dinaiki mangsa bersama dua individu yang juga pelajar kolej swasta hilang kawalan ketika cuba memotong kereta jenis Toyota Vios.
“Honda City berkenaan memotong dari bahagian kiri dan hilang kawalan ketika cuba masuk semula ke lorong kanan selepas selesai memotong,” katanya pada Rabu.
Akibat tidak sempat mengelak, lelaki tempatan berusia 36 tahun yang sedang memandu Toyota Vios terbabit telah melanggar Honda City yang terbabas, seterusnya melanggar pembahagi jalan.
Ekoran dari pelanggaran itu, Honda City tersebut telah berpusing serta memasuki lorong kedua sebelum dirempuh oleh kereta dan sebuah motosikal yang tidak sempat mengelak.
“Mangsa yang maut serta kesemua yang cedera dibawa ke Hospital Sungai Buloh bagi proses bedah siasat serta mendapat rawatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya.
Sumber : Sinar Harian