Berikutan dengan kenyataan rasmi yang telah dikeluarkan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ) semalam mengenai promosi yang telah dilakukan oleh pihak Bjak Sdn Bhd, syarikat teknologi itu telah pun mengeluarkan kenyataan balas semalam.
Mereka telah mengesahkan bahawa perkhidmatan pembaharuan cukai jalan kepada semua pelanggan mereka adalah secara pilihan dan pengoperasian mereka masih dijalankan seperti biasa.
Memetik dari laporan Berita Harian, tujuan utama perkhidmatan yang ditawarkan oleh mereka adalah perbandingan dan pembaharuan insurans kereta serta perkhidmatan VIP khas untuk pelanggan.
Berbanding dengan platform lain yang biasanya mengenakan bayaran bermula dari RM3 hingga RM11 untuk perkhidmatan pembaharuan itu, platform Bjak disediakan secara pilihan dan percuma.
Ini adalah salah satu daripada inisiatif syarikat swasta terbabit di mana mereka memfokuskan untuk meningkatkan nilai pelanggan dan sama sekali tidak bergabung dengan mana-mana agensi berkaitan kerajaan.
“BJAK juga kekal komited untuk menyediakan penyelesaian yang inovatif dan perkhidmatan cemerlang, melalui standard pematuhan tertinggi,” kata kenyataan berkenaan.
Dengan lebih 250,000 ulasan di Google mengenai perkhidmatan mereka, Bjak berjaya mengekalkan platform mereka di antara yang tertinggi dan membantu pelanggan untuk mendapatkan harga yang terbaik untuk perkhidmatan pembaharuan cukai jalan.
“Semua komen juga dibalas dengan liputan 100 peratus. BJAK turut menyasarkan penyelesaian pada hari yang sama untuk semua pertanyaan atau maklum balas oleh pelanggan,” katanya.
Sumber : Berita Harian