Seorang tukang rumah nyaris maut apabila mengalami kecederaan ditusuk besi yang jatuh daripada lori ketika sedang memandu di Jalan Pantai Sepat, Kuantan semalam.
Kejadian ngeri itu berlaku sekitar jam 3.30 petang semalam dan batang besi sepanjang 0.75 meter telah menembusi lengan dan terkena rusuk kiri seorang lelaki berusia 45 tahun yang dikenali sebagai Jamaludin Amin dari Kampung Penor.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, mangsa sedang dalam perjalanan pulang pada waktu itu dan memandu kenderaan jenis Perodua Alza dari arah Penor menghala ke arah Tanjung Lumpur.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, sebatang besi dipercayai jatuh dari sebuah lori arah bertentangan sebelum terkena cermin hadapan dan tembus masuk ke dalam kereta lalu menusuk lengan serta rusuk kiri mangsa.
“Mangsa telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk rawatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana cuai dan telah mendatangkan kecederaan kepada orang awam, ulas Wan Mohd Zahari.
“Usaha mengesan pemandu serta lori terlibat masih dijalankan. Berdasarkan maklumat awal, lori terbabit dipercayai berwarna hijau jenis roro membawa sisa bahan binaan namun nombor pendaftarannya belum dapat dipastikan,” jelasnya.
Pihak polis juga sedang mengesan saksi-saksi awam yang ketika itu berada berhampiran tempat kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan berhubung kes ini.
Orang ramai yang mungkin ada terakam di kamera papan pemuka kenderaan masing-masing akan kelibat lori terbabit diminta untuk tampil bagi membantu mengesan lori yang terlibat itu.
Sumber : Sinar Harian