passionately driven

Seorang Pelajar UMT Maut, Tiga Parah di LPT2 – MPV Terbabas

Sebuah kenderaan jenis pelbagai guna (MPV) telah terbabas di Kilometer 312.4 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dan mengakibatkan seorang pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) maut, manakala tiga lagi cedera parah pada petang Jumaat semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Muhamad Fathol Harris Muhamad Asri, 21, telah meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan yang parah di bahagian kepala.

Menurut Ketua Polis Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan, tiga lagi mangsa yang cedera parah adalah Ignatius Suren Santhanasamy, 21, Noramirah Syahirah Abdullah, 21, dan Nur Farah Shakirah Mohd Hishamudin, 23.

Selain itu, dua lagi mangsa yang dikenali sebagai Nur Mazni Andri dan Azira Adriana Natasha Amirul Faris, 21, turut mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan terbabit.

“Ketika kejadian, kesemua mangsa yang merupakan pelajar tahun pertama universiti itu dalam perjalanan pulang ke kampus di Gong Badak, Kuala Nerus dari Kuantan selepas selesai menyertai kerja kursus di Rumah Perlindungan Jagaan dan Rawatan Casa Femina, Taman Tok Sira Kuantan.

“Nahas berlaku apabila Perodua Alza dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik menyebabkan kesemua mangsa tercampak keluar dari kenderaan,” katanya di sini pada Sabtu.

“Mayat mangsa yang berasal dari Sungai Semambu Bagan Serai, Perak itu dihantar ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera menerima rawatan lanjut di hospital yang sama,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

 

Sumber : Sinar Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD