NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Pemandu Nyaris Maut, Kereta Terbakar Ketika Isi Minyak – Punca Telefon Bimbit

Pemandu Nyaris Maut, Kereta Terbakar Ketika Isi Minyak – Punca Telefon Bimbit

Sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback telah terbakar dan meletup ketika pemiliknya sedang mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Repoh, Perlis semalam.

Kejadian berlaku sekitar jam 4 petang dan pemiliknya dilaporkan mengalami kecederaan ringan selepas terkena serpihan cermin dari kenderaannya itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, insiden terjadi ketika mangsa sedang mengisi petrol di salah sebuah pam.

“Bagaimanapun, secara tiba-tiba bahagian tangki meletup hingga mengakibatkan kenderaan terbabit terbakar,” katanya.

Pihak bomba menerima panggilan pada 4.04 petang dan berjaya memadam api kebakaran sepenuhnya pada jam 4.25 petang selepas 15 minit bertungkus-lumus berusaha untuk memadamkan api yang sedang marak.

Berdasarkan siasatan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis, punca cetusan api bermula dari bahagian tempat duduk hadapan penumpang kiri.

Tambah Yusharifuddin, kebakaran dipercayai berlaku berpunca dari tindak balas telefon bimbit dengan wap petrol yang berada dalam kenderaan hingga tercetusnya percikan api awal di bahagian tersebut.

Pihak polis telah mengesahkan bahawa kebakaran ini hanya kemalangan semata-mata dan tiada unsur jenayah ditemui.

“Sebuah kereta musnah terbakar hampir 50 peratus dan pemiliknya mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan akibat terkena serpihan cermin yang pecah.

“Kejadian letupan tersebut turut menyebabkan berlaku kerosakan di bahagian bumbung stesen minyak berkenaan,” katanya.

Mangsa telah dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk rawatan lanjut.

 

Sumber : Sinar Harian

Melissa Alias

Melissa Alias merupakan antara pelopor terawal meja editorial NAZZ&CO™ Media. Dengan kepakaran meluas dalam kewartawanan automotif, beliau telah mengendalikan ratusan liputan eksklusif pelancaran model baharu, analisis insiden jalan raya, dan laporan siaran media rasmi yang membentuk asas kukuh kewartawanan digital portal ini.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy