Sebuah lori tangki telah diserbu oleh sepasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor di sebuah stesen minyak di Shah Alam Rabu lalu gara-gara mengisi petrol selama hampir satu jam.
Menurut Ketua Sektor Operasi Seksyen Penguatkuasaan KPDN Selangor, Mohd Shahran Mohd Arshad, serbuan terbabit di bawah OPS TIRIS 5.0 yang memfokuskan kepada membanteras aktiviti yang disyaki terbabit dengan penyelewengan subsidi bahan api diesel.
“Sebaik tiba di lokasi, anggota serbuan mendapati, sebuah lori tangki dipercayai ada membuat pengisian minyak selama hampir satu jam. Susulan itu, anggota serbuan membuat pemeriksaan ke atas lori tangki terbabit dan turut menemui seorang pemandu lori yang mengendalikannya.
“Pemeriksaan lanjut ke atas lori tangki mendapati ada pengubahsuaian pada struktur badan lori tangki yang dipercayai untuk membuat pengisian bahan api jenis diesel yang dibeli daripada stesen-stesen minyak yang dilawati. Pengubahsuaian itu disyaki untuk tujuan penyelewengan/menjualnya demi mengaut keuntungan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Siasatan dan pemeriksaan awal mendapati pada satu-satu masa suspek berhenti untuk mengisi petrol, sebanyak 12 kali transaksi telah dilakukan. Pemeriksaan seterusnya telah dibuat kepada stesen-stesen minyak yang terlibat dan tiga individu telah ditahan iaitu pemandu lori dan dua pekerja stesen minyak iaitu lelaki Bangladesh berumur lingkungan 30-an.
“Tindakan arahan mengisytiharkan stok dan mengemukakan maklumat/dokumen mengikut Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 dikeluarkan kepada pemandu lori dan pihak stesen minyak pada hari sama,” katanya.
“Kesemua mereka ditahan untuk keperluan siasatan lanjut bagi rakaman percakapan mengikut Seksyen 10(1)(a) Akta Kawalan Bekalan 1961. Pasukan turut menyita sebuah lori tangki bersama badan lori, bahan api disyaki diesel (berada di dalam badan lori), dokumen perniagaan dan urus niaga mengikut dan lain-lain yang relevan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Anggaran keseluruhan bahan api disyaki diesel di dalam kes ini mencecah 10,000 liter dengan nilai subsidi dianggarkan dapat diselamatkan daripada diseleweng mencecah puluhan ribu ringgit. Anggaran keseluruhan nilai sitaan mencecah RM500,000,” katanya.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 di mana fokus utama adalah untuk mengenal pasti individu/ syarikat serta rantaian pengedaran bekalan minyak diesel subsidi termasuk sumber bekalan minyak diesel subsidi ini diperoleh dan diedarkan.
Sumber : BuletinTV3