Niat seorang pemuda yang ingin membantu mangsa kemalangan bertukar tragedi apabila dia maut dilanggar oleh sebuah kenderaan ketika sedang cuba membantu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora, kemalangan terjadi sekitar jam 5.20 petang dan ia membabitkan sebuah kenderaan jenis Perodua Axia yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun. Difahamkan kenderaan ini sedang dalam perjalanan ke Kota Tinggi dari arah Sungai Rengit dan telah terbabas sendiri.
“Apabila melihat kemalangan itu, seorang lelaki tempatan yang memandu Toyota Hilux dari arah bertentangan memberhentikan kenderaan dan membantu mangsa.
“Ketika mangsa berusia 35 tahun itu sedang membantu tiba-tiba datang Mitsubishi Triton dipandu lelaki tempatan berumur 27 tahun bersama dua penumpang berumur 26 dan 27 tahun dari arah Sungai Rengit melanggar mangsa yang berada berhampiran dengan Perodua Axia itu,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Pemandu Toyota Hilux dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian dalaman dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Kota Tinggi, manakala pemandu serta penumpang Mitsubishi Triton turut mengalami kecederaan di bahagian anggota badan dan menerima rawatan di hospital sama.
“Sementara pemandu Perodua Axia hanya mengalami cedera ringan dan dirawat di hospital swasta di Pasir Gudang,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan punca kemalangan bagi Perodua Axia masih dalam siasatan.
Sumber : Sinar Harian