Zeekr telah mengesahkan bahawa mereka akan membuat kemunculan sulung untuk model pertama mereka tak lama lagi semalam melalui undangan pratonton yang telah diterima oleh beberapa media di Grand Hyatt KL.
Jemputan berkenaan bertulis, “Jenama baru yang menarik ini bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi. Sertai kami untuk meneroka inovasi. Wakil daripada Zeekr akan turut hadir untuk berkongsi maklumat tentang visi syarikat dan barisan produknya. Anda juga akan berpeluang untuk mendekati Zeekr X, SUV kompak mewah.”
Model pertama adalah Zeekr X, sebuah SUV lima tempat duduk yang telah dibangun menggunakan platform Scalable Electric Architecture (SEA) Geely. Ia berukuran 4,450 mm panjang, 1,836 mm lebar, 1,572 mm tinggi dan jarak roda 2,750 mm.
Dua varian bakal ditawarkan iaitu motor tunggal RWD dan dua-motor AWD. Bagi varian motor tunggal, ia mampu menghasilkan kuasa sebanyak 272 Ps dan 343 Nm tork manakala dua motor mampu menghasilkan 428 Ps dan 543 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j adalah 5.8 saat bagi RWD dan 3.8 saat bagi AWD.
Untuk jarak sejauh 560 km boleh dicapai dengan pek bateri nickel manganese cobalt (NMC) berkapasiti 66 kW dengan sekali pengecasan bagi RWD manakala jarak sejauh 512 km bagi AWD.
Selain itu, antara ciri-ciri lain bagi Zeekr X adalah bukaan pintu berkuasa, sistem bunyi Yamaha dengan 13-pembesar suara serta paparan pada tiang B untuk menunjukkan status pengecasan, dan juga kamera yang menggunakan pengesahan wajah untuk membuka pintunya.
Perincian penuh masih belum didedahkan lagi oleh Zeekr dan dijangka model 009, MPV EV juga bakal diperkenalkan sekali bersama dengan Zeekr X bagi versi pemanduan sebelah kanan.
Sumber : Paultan