Dinamikjaya Motors Sdn Bhd telah melancarkan sebuah model Kia EV9 2024 dan mengumumkan harga rasmi di The Exchange TRX. Dua varian telah ditawarkan bagi model ini iaitu GT Line enam-tempat duduk dan GT Line tujuh-tempat duduk.
Ia didatangkan dengan spesifikasi dwi motor elektrik yang menyalurkan kuasa ke gandar hadapan dan belakang dan transmisi e-Shift yang mampu menghasilkan kuasa 380 Hp dan 700 Nm tork. Dengan menggunakan pek bateri bervoltan tinggi 99.8 kWh, ia mampu bergerak sejauh 505 km dalam kitaran WLTP.
SUV tiga-barisan tempat duduk ini berukuran 5,010 mm panjang, 1,980 mm lebar dan 1,755 mm tinggi, dengan jarak antara roda 3,100 mm.
Rekaan luaran didatangkan dengan identiti Digital Tiger face ditemani Digital Pattern Lighting Grille yang menambahkan elemen dynamism. Lampu utama LED automatik bentuk menegak yang menampilkan dua kluster Small Cube Projection dan lampu nyalaan siang LED diberikan untuk bahagian belakang. Untuk belakangnya, ia diberikan lampu Star Map LED yang mampu menarik perhatian.
Beralih kepada ruang dalaman, Kia EV9 ini turut dilengkapi dengan papan pemuka panoramik ala-terapung yang seakan bersambung dari roda stereng hingga ke bahagian tengah kabin. Ia dilengkapi dengan dua skrin sesentuh 12.3-inci yang disepadukan dengan skrin paparan 5-inci yang menawarkan pengalaman digital, butang penghidup enjin, brek parkir elektronik dan cermin pandang belakang paparan penuh jenis kamera.
Selain itu, ia juga diberikan sistem audio Meridian® dengan 14-pembesar suara, suis mod pemanduan, pedal penukar gear di belakang stereng, pendingin hawa automatik dwi-zon, pengecas telefon pintar tanpa wayar, dua unit soket kuasa dan empat unit USB port.
Bagi sistem keselamatan pula, ia dilengkapi dengan ciri standard yang merangkumi 10 beg udara (hadapan pemandu dan penumpang, bahagian lutut pemandu, sisi, tirai dan sisi tengah), ABS, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Bantuan Keluar Selamat (SEA), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), EBD, Bantuan Brek (BA), Kepekaan Penumpang Belakang (ROA), cagak ISOFIX untuk barisan kedua dan ketiga serta Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC).
Bukan itu sahaja, SUV ini juga tampil dengan Ciri Keselamatan Termaju yang terdiri daripada Bantuan lampu Tinggi (HBA), Bantuan Pengelak Pelanggaran Parkir (PCA), Bantuan Mengelak Pelanggaran Titik Buta (BCA), Bantuan Pelanggaran Trafik Lintasa Belakang (RCCA), Pemantauan Pandangan Titik Buta (BVM, Bantuan Kekal Lorong (LKA), Amaran Perhatian Pemandu (DAW), Bantuan Ikut Lorong (LFA2), Kawalan kelajuan Pintar (SCC) dan Bantuan Mengelak Pelanggaran hadapan (FCA2).
Model ini akan diimport sepenuhnya (CBU) dari Korea Selatan dan ditawarkan dengan lima pilihan warna iaitu Ocean Blue, Snow White Pearl, Pebble Gray, Aurora Black Pearl dan Iceberg Green dengan harga bermula dari varian GT-Line enam-tempat duduk pada RM374,668 (on-the-road tanpa insurans) dan varian GT-Line tujuh-tempat duduk pada RM369,668.
Pemilik akan menerima pakej waranti yang menyeluruh termasuk waranti kenderaan 5 tahun/150,000 km dan waranti bateri EV selama 8 tahun/160,000 km.
Kia EV9 ini akan dipamerkan di Kia Exclusive Showcase bermula dari 12 hingga 16 Jun 2024 di Central Exchange, The Exchange TRX dari jam 10 pagi hingga 10 malam.