Syarikat Trak Tunda Diberi Notis, Naikkan Harga Perkhidmatan susulan Kenaikan Harga Diesel

Susulan dari kenaikan harga diesel beberapa hari yang lalu, beberapa syarikat perniagaan trak tunda telah menaikkan harga perkhidmatan mereka dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor telah memberikan notis kepada sebuah syarikat perkhidmatan trak tunda kenderaan di Ulu Tiram.

Memetik dari laporan Berita Harian, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata notis diberikan kepada syarikat berkenaan kelmarin bagi mereka memberi jawapan dalam tempoh antara tujuh hingga 14 hari.

Ini berikutan dengan pengumuman kenaikan harga perkhidmatan oleh syarikat berkenaan pada Isnin lalu susulan selepas kerajaan mengumumkan harga terkini diesel iaitu pada RM3.35 seliter.

“Notis itu bagi syarikat berkenaan memberi maklum balas terutama bukti dokumentasi dan justifikasi kenaikan kos operasi mereka yang dikaitkan dengan pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel bermula Isnin lalu. Sebelum ini pun syarikat perkhidmatan tunda tidak layak menerima subsidi diesel dan mereka membayar diesel pada harga komersial, jadi kita nak teliti bukti sama ada berlaku pencatutan harga dengan mengambil kesempatan rasionalisasi subsidi diesel.

“Jika syarikat terbabit gagal mengemukakan bukti kukuh terutama dari segi dokumentasi, tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011),” katanya.

Sementara itu, beberapa perniagaan lain juga mengambil keputusan untuk menaikkan harga perkhidmatan seperti bas sekolah, pengeluar konkrit dan jengkaut atas sebab kenaikan harga diesel. Tidak cukup dengan itu, ada juga yang menaikkan harga barangan dan makanan masing-masing di atas faktor yang sama.

 

Sumber : Berita Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD