Bermula hari ini, Isnin, kerajaan telah mengumumkan dan menetapkan harga diesel terkini iaitu RM3.35 seliter selaras dengan perlaksanaan penyelarasan semula subsidi bahan api tersebut.
Menurut Menteri Kewangan Il, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, mengikut formula ‘Automatic Pricing Mechanism’, penetapan telah dibuat mengikut harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024.
Bagi tempoh seterusnya, kerajaan akan mengumumkan harga diesel semasa pada setiap minggu, mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan.
“Namun, kerajaan akan terus memantau keadaan semasa bagi mengelakkan ketidakstabilan harga. Kerajaan dah bertahun-tahun mengawal harga di stesen-stesen minyak. Ada kaedah yang kita boleh stabilkan harga. Jadi, kalau ada lonjakan harga kita akan cuba stabilkan harga.
“Bagaimanapun jika kenaikan harga drastik dijangka dalam tempoh lama, kita akan lihat bagaimana kaedah terbaik yang kita boleh buat,”katanya pada Sidang Media Penyasaran Subsidi Diesel.
Penyasaran semula subsidi telah dilakukan bagi mengenal pasti golongan yang sebetulnya layak dan menghentikan ketirisan yang merugikan rakyat dan negara. Dijangka sebanyak RM4 billion setahun dapat dijimatkan sekiranya langkah ini dijalankan.
“Penjimatan yang diperoleh kerajaan daripada langkah penting ini akan memastikan terdapat lebih banyak sumber untuk disalurkan ke dalam sektor kritikal lain yang secara langsung akan meningkatkan kualiti hidup rakyat termasuk infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan pendidikan untuk anak-anak kita,” katanya.
Sumber : Sinar Harian