passionately driven

Pemandu Maut Selepas Lori Terjunam dalam Lubang Jalan Mendap

Seorang pemandu lori maut selepas lori yang dipandunya terbabas lalu terjatuh ke dalam sebuah lubang jalanraya yang mendap dan dalam berhampiran Jambatan Bailey di Seksyen 102, Kilometer 73, Jalan Kuantan-Segamat semalam.

Mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 29 tahun, dikenali sebagai Muhammad Farhan Dagang, mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kemalangan terbabit berlaku sekitar jam 8.55 malam.

Menurut Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin, siasatan mendapati lori yang dipandu membawa muatan generator elektrik dan sedang dalam perjalanan menghala ke Pekan dari arah Segamat.

Tambahnya, dipercayai lori hilang kawalan ketika tiba di lokasi kejadian lalu melanggar penghadang jalan plastik dan terjunam masuk ke dalam sebuah lubang jalan raya yang mendap.

“Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan akibat terbabas sendiri dipercayai pemandu tidak menyedari amaran kawasan lencongan jambatan sementara di lokasi itu,” katanya.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Pekan untuk jalani proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

 

Sumber : Sinar Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD