Menerusi satu perkongsian video di Tiktok Bro Wong Used Car, seorang ibu tunggal telah membeli sebuah kereta terpakai dari seorang penjual kenderaan terpakai.
Hanya selepas seminggu kenderaan tersebut digunakan, kereta tersebut telah mengalami kerosakan. Lebih malang, penjual kenderaan terpakai bertindak lepas tangan dengan alasan tiada waranti apabila ibu tunggal tersebut melaporkan tentang kerosakan kenderaan tersebut.
Sedih dan buntu selepas mengalami kerugian lebih RM51,000, wanita tersebut meminta bantuan kepada Bro Wong yang sememangnya pakar dalam kenderaan terpakai.
Melalui video itu, wanita tersebut menunjukkan kertas kiraannya bersama dengan penjual kenderaan terpakai tersebut dan Bro Wong mendapati jumlah bayaran pinjaman adalah tidak benar dan telah ditipu oleh penjual tersebut di mana peratus faedah ditulis dalam angka yang mengelirukan iaitu angka empat tetapi jika diteliti semula adalah sembilan.
Selain itu, hasil pengiraan mendapati bayaran bulanan mempunyai banyak perbezaan yang mencecah RM280 dari harga asal yang sepatutnya dan tahun keluaran kenderaan juga ditipu oleh penjual kenderaan terpakai tersebut.
Bro Wong mengingatkan orang ramai yang berminat untuk membeli kenderaan terpakai supaya lebih peka dan berhati-hati semasa proses pembelian berlaku.
“Beli kereta macam mana pun, kena minta waranti. Paling kurang pun satu hari tetapi perlu ada perjanjian bertulis bukan guna mulut sahaja.
“Tiada benda yang keluar dari kedai tanpa waranti kecuali kalau barang itu murah.
“Video ini bertujuan untuk memberi peringatan kepada anda supaya tidak ada lagi mangsa lain pada masa akan datang,” ujarnya.
Sumber : Tiktok Bro Wong Used Car | Sinar Harian