PLUS dan Petronas Dagangan Bina Stesen Super Hibrid Pertama di Malaysia

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Petronas Dagangan Berhad untuk membina stesen hibrid komersial yang pertama di lebuhraya Malaysia.

Dengan pembukaan stesen hibrid komersial tersebut, pengguna bakal diberi keselesaan serta pilihan untuk menggunakannya. Ia juga bakal menjadi penanda aras perkhidmatan lebuhraya di Malaysia.

Memetik dari kenyataan PLUS dan Petronas Dagangan Berhad, stesen super hibrid tersebut bakal menyediakan beberapa perkhidmatan mobiliti menyeluruh seperti stesen petrol dan diesel berskala besar dan stesen pengecasan pantas (DCFC) untuk kenderaan elektrik (EV).

Selain itu, kemudahan-kemudahan awam yang lain turut disediakan seperti gerai makan, kafe, restoran serta kedai runcit.

“Pembangunan stesen hibrid ini juga memberi penekanan terhadap kelestarian menerusi reka bentuk bangunan efisien tenaga hingga ke penyertaan ruang hijau dan sumber tenaga yang boleh diperbaharui.

“Sebagai salah satu mercu tanda terbaharu di lebuh raya, stesen hibrid ini bakal menjadi destinasi tersendiri dan menawarkan pengalaman perjalanan lebih baik,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, pembangunan Stesen Super Hibrid itu akan memacu pelaksanaan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon negara.

“Selain itu, penyediaan stesen hibrid ini juga dapat memperluaskan kemudahan perkhidmatan mobiliti kami bagi menambah baik pengalaman pengguna lebuh raya di samping memberi peluang kepada mereka untuk menikmati amalan kelestarian sepanjang perjalanan.

“Dengan menggabungkan kepakaran dan sumber kedua-dua pihak, ia boleh membantu untuk meningkatkan tahap perkhidmatan serta kemudahan kepada pengguna lebuh raya dengan lebih efisien,” ujarnya.

“Secara keseluruhan, fasiliti stesen hibrid baru ini bakal memberi nafas baharu kepada konsep stesen minyak, mengintegrasikan perkhidmatan bahan api yang menyeluruh termasuk EV, kemudahan awam yang selesa, pilihan runcit serta makanan dan minuman lebih meluas, serta pendekatan amalan lestari lebih hijau,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan, Azrul Osman Rani.

 

Sumber : Sinar Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD