Prestasi jualan bulan Jun telah diumumkan oleh Proton dengan penjualannya mencapai 10,999 unit kenderaan untuk domestik dan eksport dan berjaya mengukuhkan kedudukan mereka di tempat kedua bagi jualan kenderaan di Malaysia.
Ini menunjukkan jualan keseluruhan bagi enam bulan pertama tahun ini telah mencecah kepada 73,696 unit. Dengan angka ini, Proton mencatat pegangan pasaran mereka pada 19.1%.
Proton Saga telah mengekalkan kedudukannya sebagai model paling laris di dalam Proton dengan jumlah jualannya pada Jun mencapai 5,441 unit diikuti dengan Proton X50 yang kembali mengungguli segmennya dengan jumlah jualannya sebanyak 1,711 unit pada Jun.
Ia seterusnya disambung oleh Proton S70, sedan segmen-C paling laris di Malaysia dengan jumlah jualannya sebanyak 1,440 unit, Proton Persona sebanyak 1,309 unit, Proton X70 sebanyak 481 unit dan Proton Iriz sebanyak 369 unit manakala Proton X90 sebanyak 248 unit pada Jun 2024.
Walaupun jualan Proton pada bulan Jun terkesan dan menunjukkan sedikit penurunan akibat pemberhentian sementara pengeluarannya untuk memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan berjadual, Proton tetap berjaya merekodkan angka perkongsian pasaran yang tinggi.
Selain itu, pada bulan lepas juga Proton agak sedikit sibuk dengan pelancaran jenama EV terbaru mereka iaitu Proton e.MAS, pelancaran X50 2024 yang telah ditambahbaik dan meraikan kenderaan ke-5 juta dikeluarkan dari kilang mereka.