Chery Corporate Malaysia telah mengumumkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Projek Belia Mahir, sebuah platform yang di gerakkan oleh badan bukan kerajaan, Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran.
Kerjasama ini terjalin bertujuan untuk merapatkan jurang antara pendidikan dan pekerjaan bagi yang mahir dan menawarkan proses yang lancar dari tamat universiti sehinggalah memasuki alam pekerjaan terutamanya dalam industri automotif.
Selain dapat melancarkan proses golongan belia mendapat pekerjaan, ia juga dapat memperkasakan mereka untuk mengaplikasi dan meningkatkan kemahiran mereka dalam sektor automotif Malaysia.
Untuk makluman, Projek Belia Mahir ini dilakukan adalah untuk membantu golongan belia khususnya yang tidak mempunyai pekerjaan, tidak mempunyai pendidikan atau latihan (NEET) dengan kolaborasi institusi pengajian tinggi dan institusi latihan kemahiran. Selain sektor automotif, Projek Belia Mahir juga menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan belia di dalam pelbagai sektor industri.
“Dengan adanya kilang pemasangan kenderaan Chery di Shah Alam, Selangor yang baru dilancarkan pada bulan Jun, kami berhasrat untuk membina tenaga kerja professional yang berkemahiran tinggi untuk mengekalkan komitmen kami dalam menyediakan kenderaan dan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada pelanggan kami yang dihargai,” kata Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Leo Chen.
Selepas tamat program latihan dan pendidikan bersama Projek Belia Mahir, belia tersebut akan diberi peluang untuk bekerja bersama Chery dengan pendapatan minimum bulanan sebanyak RM2000, termasuk faedah kakitangan yang komprehensif.
“Dengan memperkasakan bakat tempatan dan memupuk kerjasama, kami bukan sahaja menyokong matlamat peralihan industri dan tenaga Malaysia tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan industri automotif di negara ini,” kata Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Leo Chen.
MoU ini telah diterima oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga merupakan Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara dan ditukar dengan Projek Belia Mahir semasa Majlis Pelepasan Peserta Program Inisiatif Institut Malaysia-China (MCI).