Pelayaran pertama pada pagi ini telah dimulakan di mana seramai 944 penumpang di Terminal Feri Kuala Kedah, Kuala Perlis dan Langkawi telah menuju ke destinasi masing-masing.
Selain itu, beberapa pelancong yang terkandas semalam selepas lapan trip perjalanan feri dibatalkan susulan ombak besar setinggi kira-kira empat meter turut berjaya sampai ke destinasi mereka pada pelayaran pertama pagi tadi.
Menurut Pengurus Besar Konsortium Ferrylines Ventures Sdn Bhd, Kapten Dr Baharin Baharom, seramai 109 orang penumpang yang berlepas dari Kuala Perlis jam 7 pagi tadi dan dari Langkawi ke Kuala Perlis yang membawa seramai 276 penumpang pada jam 7.30 pagi selamat tiba di destinasi.
Sementara itu, dua trip perjalanan dari Kuala Kedah ke Langkawi dan Langkawi ke Kuala Kedah masih dalam perjalanan.
“Feri yang membawa 337 penumpang dari Kuala Kedah ke Langkawi berlepas pada jam 7 pagi tadi manakala feri dari Langkawi ke Kuala Kedah yang membawa 222 penumpang berlepas dari terminal pada jam 7.30 pagi tadi. Dua feri itu mengambil kira-kira 1 jam 45 minit atau dua jam untuk sampai ke destinasi.
“Setakat pagi ini, keadaan ombak di Kuala Perlis dalam keadaan paras normal manakala di perairan Kuala Kedah pula sedikit beralun tetapi tidak mengakibatkan ombak yang kuat,” katanya.
Tambah Baharin, mereka menggunakan laluan feri yang asal bagi mengelakkan ombak yang terbuka. Walau bagaimanapun, bergantung kepada keadaan ombak serta cuaca, barulah jadual perjalanan feri dari Kuala Kedah ke Langkawi dapat berjalan seperti biasa atau sebaliknya.
Sumber : Buletin TV3