Susulan dengan kemalangan yang melibatkan kematian 2 pelajar kolej baru-baru ini yang dipercayai dilanggar oleh seorang lelaki yang memandu di bawah pengaruh alkohol, penganalisis industri automotif, Hezeri Samsuri, telah menyatakan pandangannya di aplikasi ‘X’ di mana kerajaan wajar mewujudkan undang-undang yang lebih tegas untuk menangani isu pemandu mabuk hingga meragut nyawa orang awam.
Sama seperti usaha kerajaan mengawal produk tembakau dan rokok elektronik atau vape, kerajaan harus mengambil perhatian lebih tentang isu pemandu mabuk ini kerana ia mengakibatkan nyawa orang lain.
“Pemandu mabuk ini kita tak boleh kaji betul-betul? Angka statistik rendah sebab polis tidak dilengkapkan dengan peralatan yang cukup untuk buktikan mereka (pemandu) mabuk.
“Kita perlukan undang-undang lebih tegas. Kalau mabuk, dengan pemilik pusat hiburan kena saman dan (kenakan) denda yang tinggi,” katanya.
Hezeri turut memetik nama akaun media sosial Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar dan program podcast terkenal, Keluar Sekejap untuk mengambil perhatian tentang isu yang sedang hangat diperkatakan itu.
“Tolonglah @anwaribrahim, @teamnurulizzah dan @keluarsekejap. Kami rakyat minta tolong betul-betul. Baca laporan berita daripada Bernama. Anak-anak nak belajar mati macam tu sahaja,” tulisnya.
Sumber : Sinar Harian